Friday, August 04, 2006

Rayuan Terbuka Buat Siti Nurhaliza

Aritu aku anta kat Utusan mende nih... slalu depa terima jer and publish... ntah apsal dia rejek kali nih.. aku tensi sket2... so aku publish jer lar kat sini... selamat membaca...

______________



Saudara Pengarang,

Semua orang tahu Siti Nurhaliza akan melangsungkan perkahwinannya tidak sampai sebulan dari sekarang. Dan debaran para peminatnya untuk menyaksikan satu lagi wedding of the year semakin hangat terasa. Berjuta-juta ringgit dilaburkan oleh kedua-dua mempelai untuk menjayakan upacara seumur hidup sekali ini.

Semua orang juga tahu keadaan di Palestin dan Lubnan pada masa sekarang. Jumlah korban jiwa setakat surat ini ditulis sudah mencecah 400 orang. Entah berapa ramai pula yang cedera parah. Kemusnahan harta benda sudah tidak tergambar. Kemajuan teknologi perang Israel menyebabkan Hizbullah dan kerajaan Lubnan tidak mampu mempertahankan Beirut secara terbuka. Ditambah pula dengan baculnya organisasi-organisasi dunia PBB, OIC, Liga Arab, NAM, NATO dan lain-lain yang hanya mampu bersuara, Lubnan kian terhimpit.

Justeru saya ingin merayu kepada saudari Siti Nurhaliza secara terbuka, alihlah sedikit peruntukan kahwin saudari untuk saudara-saudara seIslam kita di Lubnan. Pada saya adalah tanggungjawab saudari kepada agama dan kemanusiaan untuk mengurangkan perbelanjaan perkahwinan saudari. Mungkin para peminat Siti akan kurang berpuas hati dengan pandangan saya yang mungkin tidak adil terhadap saudari, namun perhatikan dahulu rasionalnya.

Pertama, adalah kurang bertanggungjawab untuk mengadakan perkahwinan secara besar-besaran yang mendapat liputan meluas media tatkala saudara-saudara seagama kita terseksa di medan perang. Liputan meluas media akan menyebabkan perhatian rakyat Malaysia ‘sedikit’ teralih kepada saudari buat sehari, sedangkan itu tidak sepatutnya belaku. Perkara ini telah berlaku tempoh hati ketika saudari membuat pengumuman perkahwinan saudari. Justeru dengan mengalihkan sedikit peratusan (sebagai contoh 40% dari kos sebenar), suasana gah akan sedikit berkurang.

Kedua, adalah kurang bertanggungjawab di pihak saudari untuk menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk majlis-majlis perkahwinan saudari sedangkan wang itu lebih wajar disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan. Dalam konteks semasa, warga Palestin dan Lubnan. Pada hemat saya adalah tidak adil dan tidak rasional untuk kita di Malaysia merayakan satu majlis individu secara ‘bersungguh-sungguh’, sedangkan mereka di Lubnan sedang berlari bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan diri dari dibom.

Ketiga, sumbangan dari saudari menggunakan wang yang diperuntukkan untuk perkahwinan saudari akan secara langsung meningkatkan kesedaran para peminat saudari tentang situasi sebenar di Palestin dan Lubnan. Malah, saya berpendapat sumbangan saudari akan memberi impak yang besar kepada para peminat saudari sehingga mereka mungkin sanggup melaburkan wang untuk membeli saham akhirat ini. Ini ditambah pula dengan imej saudari yang memang sedia positif di kaca mata majoriti rakyat Malaysia.

Saya sedar barangkali sudah terlambat untuk mengatur kembali majlis-majlis saudari. Justeru sebagai peminat saya faham andai saudari tidak dapat memenuhi harapan saya. Namun saya berharap saudari dan seluruh rakyat Malaysia dapat melakukan sesuatu untuk membantu mangsa perang proksi di Palestin dan Lubnan. - Peminat Setia Tak Kecewa


_________________

Semua di atas adalah dari hati aku yg sebenar kecuali part yg aku ngaku aku peminat setia Siti... saja nk sedapkan ati org jer...