Wednesday, January 25, 2006

Kosong

Penghujung jalan itu... Bristol Suspension Bridge



Kosong...
Relatifnya kosong
Tiada atau ada
Elok atau durjana
Teka teki dari jiwa ke jiwa
Teka teki dari hati ke hati

Jiwaku?
Tiada ku berilmu perihal itu
Berteleku - fikirku hatiku kosong
Kerana kosong omong dijamung
Mengisi hati fikrah ukhrawi
Mengerigi mentaliti cinta duniawi

Benarkah fikirku hatiku kosong?
Mungkin kini, tapi bagaimana nanti?
Tabahkah? Sabarkah? Akankah?
Istilah istiqamah mampukah dihayati?
Dalam mencari tagih rindu Ilahi
Dalam memupuk teguh rindu di hati

Oh Tuhan!
Aku merayu ke hadratMu
Biarlah fikirku hatiku kosong
Andai kosong itu tagih diisi
Agar biar di sana nanti
Wajahku terang alam diterangi
Memancar cahaya cinta hakiki



Idia Idawsa
11:10pm
25 Zulhijjah 1426 bersamaan 25 Januari 2006

Thursday, January 12, 2006

Hayat Indah

27-30 Disember 1996


Di sisi tiang berukir atas renda sejadah
kudus tulus doa fakir yang amat gundah.
Khusyuknya utama mengharap restu abadi
surah-surah suci demi hidup dan mati.

Meluncur unggas menara tergetar rumpun taman
bayu berlagu syahdu di kalbu yang rindu
begitu buana berdetak dalam hikmah masa
begitu ghairah hasrat seganjil rahsia senja.

Yang dikenal wajah dan disangsi maruah;
disapa cakerawala, yang diuji manusia
demi hari demi sepi hati inti diri
dan demi malam salam menghiasi alam.

Bilal dan bibir, jemaah dan fakir
tamsil kasih dalam kemelut getir
awal teka-teki di tangan yang alpa
kini rendang mengharum darma ibadah.

Dari hening azan nafas seranum iman;
meresap rindu ke puncak reda Tuhan -
pesan tak bersuara di hati telah terkata
jiwa seindah rimba anugerah Maha Kuasa.

Rehal dan Quran, serindit dan nisan
damai dalam firman Allah Yang Esa
terercik kirai cahaya meluhuri dada
dan sabda Muhammad mengindahi hayat kita.


A. Samad Said

Saat Kulekatkan Dahiku

Saat kulekatkan dahiku perlahan-lahan ke lantai
marmar, kekerdilanku dan kebesaran-Mu
berlumba-lumba terjun ke sumur diriku.
sumur berkecipak. dosaku meriak.
Tak pernah kumimpi, suatu hari, aku
bisa berwuduk, bisa membasuh kalbuku
dengan air dari pipa baitulmuqaddis;
apa lagi berkali-kali menyebut-Mu
dan memuji-Mu dalam serentet doa panjang,
di suatu zuhur dingin yang jernih,
di suatu sudut asing yang putih,
di atas sejadah bersejarah masjid al-aqsa.
aku musafir yang datang menimba air
dari kolah di rumah-Mu. kupilih rumah ini
antara jutaan rumah-Mu kerana kehebatan
kisah yang tersimpan dalam sejarahnya.
saat kuucap salam perlahan-lahan, memandang
ke kanan dan ke kiri, ada sepercik sinar
jatuh di hadapanku dari dinding yang
dipenuhi kaligrafi purba



masjid al-aqsa
baitulmuqaddis
musim dingin 1995



Buku `Pasar Pengalaman' – T. Alias Taib