Thursday, July 20, 2006

Rangkuman

Pagi itu aku menatap berita. Kebah-kebah hujan membangkitkan aku dari lena. Hujan di Malaysia sememangnya mempunyai aroma paling enak. Lebih enak dari mana-mana aroma hujan dari seluruh dunia.

Seperti biasa, perkembangan Tebing Barat dicari-cari dahulu untuk mengetahui perkembangan semasa. Israel mengebom Lubnan seperti tanah itu tanah ujian peluru berpandu yang biasanya diuji di tengah laut. Atau seperti mereka ingin menghabiskan stok-stok lama agar industri pertahanan Amerika tidak mati. Tidak mengapa, yang mati bukannya bangsa Yahudi yang agung.

Jauh di sudut hati aku melaknat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Veto Amerika milik Israel sekali lagi menjadi penentu mesyuarat. Apalah gunanya mesyuarat kalau penghujungnya sudah diketahui. Nyata sekali bagiku perjanjian penubuhan PBB merupakan satu medium untuk menanam doktrin keamanan ala barat dalam benak warga dunia. Doktrin yang menekan Islam sejak kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah. Masih kuingat cerita orang-orang dahulu. Tentang betapa gahnya ultra-nasionalis dijulang di medan sana tatkala itu. Nah natijahnya sekarang. Terngiang-ngiang di mindaku cemuhan sahabat berbangsa Arabku di United Kingdom terhadap pemimpin-pemimpin bangsanya sendiri. Korup, lemah dan pengecut.

Malam itu kutatap berita di televisyen. “Tajuk utama malam ini : Lubnan terus dibedil, Indonesia dilanda gempa bumi, dan Siti Nurhaliza artis nombor satu tanah air mengumumkan tarikh perkahwinan.” 15 minit pertama daripada berita sejam (tolak iklan 15 minit) itu adalah tentang kahwinnya seorang bakal primadona. Jika dihisab kurang lebih, 1/3 berita adalah tentang kahwinnya beliau.

Berita-berita yang kurang penting seperti pengeboman rejim Zionis yang mula memasuki selatan Lubnan dan gempa bumi Indonesia sebanyak 3 kali dalam sehari sehingga mencetuskan tsunami dihimpit dalam 2/3 terakhir bersama-sama berita-berita kelas ketiga yang lain.

Walau bagaimana sekalipun, nafsu hedonis rakyat Malaysia perlu dilayan. Kehendak massa perlu dituruti. Jika tidak, kurang pula lakunya nanti. Massa di Malaysia ini kian mewah. Jika rakyat Palestin bergelut merintih untuk mengais sisa-sisa pembangunan semalam, rakyat Malaysia tidak berkira sangat jikalau sekadar mahu menghabiskan beberapa ratus ringgit untuk mengundi artis kesayangannya.

Si artisnya pula (atau sewajarnya saya bezakan status mereka dari artis-artis sebenar dengan menggelar artis-artis celup ini artis wannabe) berjanji dengan berhati-hati untuk memberikan persembahan terbaik, “Insya Allah saya akan berikan persembahan terbaik demi peminat.”

Setelah berjaya juga diingatnya Tuhan, “Alhamdulillah saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa saya yang tidak jenuh memberi sokongan, ahli keluarga dan terutamanya para peminat yang sudi mengundi saya.” Siapa kata Malaysia negara sekular? Artis-artis ini merupakan contoh terbaik yang rakyat Malaysia mengamalkan agama dalam semua aspek kehidupan. Apapun, peminat pantang dilupakan. Mana tidaknya, perjuangan murni ini hanya mungkin diteruskan dengan restu rakyat. Sekali rakyat memberontak (nauzubillah) musnahlah karier ‘seni’ yang baru bertapak.

Kisah rancangan realiti ini pun menarik. Rakyat Malaysia memang pakar ‘mencetak rompak’ dan meniru pemikiran barat. Apa yang datang dari sana semuanya enak-enak dan bagus belaka. Tak ubah seperti awal 1900an dahulu yang mana sememangnya majoriti produk barat itu bagus. Sekarang, sekurun sudah berlalu. Anak muda gemar benar bercanda di McDonald. KFC kadangkala dianggap lambang kemajuan sesuatu kawasan luar bandar. Golongan muda yang lebih sedikit rezeki ibu bapanya pasti lebih menggemari Star Bucks dari Tongkat Ali Power Root keluaran tempatan.

Tidak mengapalah mereka mahu bersedekah sedikit kepada keterusan rejim Zionis yang secara terang disokong oleh syarikat-syarikat francais ini melalui laman-laman web yang tidak pernah dibaca anak-anak muda tanah Melayu. Mereka tidak suka kepada laman-laman web yang tidak lucah ini, walau setinggi manapun kesedaran yang mungkin diperolehi.

330 pagi esoknya aku terjaga dari tidur dek dentuman yang nyaring memekakkan telinga. Siren berbunyi kuat dan pengumuman dari alat pembesar bergerak pihak berkuasa bergema, “Rejim Zionis Israel sudah mula menyerang Malaysia. Sila tinggalkan halaman rumah anda dan pergi ke tempat perlindungan.” Sepertimana di Lubnan, pihak Zionis sekali lagi tidak lokek mengedar risalah peringatan tentang serangan yang bakal berlaku dalam beberapa minit; ‘memberi peluang’ kepada penduduk untuk meninggalkan halaman rumah yang dibina hasil titik peluh berpuluh tahun agar kemalangan jiwa dapat diminimumkan.

Tahulah aku kemudiannya melalui corong-corong stesen radio kerajaan (yang jijik benar hendak didengar pasca-serangan kerana kualiti yang begitu rendah) yang Israel telah memutuskan untuk menyerang Malaysia kerana mereka mengesyaki rakyat Malaysia telah terlibat dalam kecurian helmet seorang tenteranya di Genting Gaza. Tidak masuk akal, tapi jika direnung kembali, mana pernah mereka ini membuat keputusan yang waras dan masuk dengan norma-norma kemanusiaan. Hatta barangkali serangan ini suatu kesinambungan yang logik.

Kehendak rejim mudah, pulangkan helmet dan hadapkan pencurinya ke mahkamah ‘keadilan’ antarabangsa di The Hague. Kerajaan Malaysia gelabah, bukan mudah hendak dicari pencuri itu, maka alternatif rundingan dicanangkan. Ditolak mentah-mentah oleh Ehud Olmert, pemimpin samseng di sebelah sana.

Dalam sehari sahaja, Putrajaya tinggal debu, Kuala Lumpur rata ibarat padang jarak padang tekukur. Keriangan yang dinikmati sejak setengah kurun lalu, sekelip mata diganti dengan neraka dunia yang mengazabkan.

Indonesia kemudiannya menganjurkan resolusi di Majlis Keselamatan PBB menuntut Israel menghentikan serangan. Disokong 9 anggota, 5 berkecuali dan ditentang dengan veto Amerika. Kehendak ‘Along’ itu mana mungkin disanggah. Pak Lah mengkritik keras kegagalan resolusi itu. Ahli-ahli politik Malaysia turut sama menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pimpinan Pak Lah.

Di peringkat akar umbi, rakyat terus menderita. Mana mungkin kritikan-kritikan mampu menamatkan serangan yang kian membabi buta. Semalam sebuah hospital bergerak di Johor Bahru dibom, seperti yang berlaku di selatan Lubnan tempoh hari. Kerajaan Malaysia secara terus menerus mencemuh segala jenis pertubuhan di muka bumi ini atas kurangnya tindakan walau mereka secara terus menerus berusaha secara lisan untuk menamatkan pergolakan.

Organisation of Islamic Countries (OIC) dianggap dayus kerana hanya tahu bersuara; itupun dengan suara yang hampir-hampir berbisik. Ironi benar, hanya beberapa hari lepas Malaysia selaku ketua persidangan OIC dan NAM (satu lagi pertubuhan dorman yang suaranya jarang dipedulikan di peringkat antarabangsa, namun mengetuainya tetap merupakan suatu tanggungjawab besar yang mengangkat martabat sesebuah negara) mengulangi kritikan keras terhadap serangan gila Israel di Tebing Barat dan Lubnan.

Pada khalayak rakyat, umumnya bersetuju berdasarkan pungutan suara yang dibuat oleh TV3 yang OIC dan NAM saling tak tumpah kuasanya seperti kuasa Pertubuhan Pengakap di Sekolah Kebangsaan Felda Taib Andak. Teringat aku pada cemuhan sebilangan kecil rakyat Malaysia yang negara ini dayus kerana tunduk kepada kehendak Singapura dalam isu Jambatan Bengkok. Namun kini umumnya bersetuju yang Malaysia adalah negara yang menganggotai (dan mengetuai) pertubuhan-pertubuhan dayus di peringkat antarabangsa.

Tidak kurang juga di kalangan rakyat yang mengkritik negara-negara rumpun Melayu yang tidak pula dapat dipastikan jika wujud pertubuhan khas untuk mewakili mereka. Sama seperti kritikan rakyat Lubnan dan seluruh massa Arab terhadap pemimpin Liga Arab yang besar tapi lembik, rakyat Malaysia tidak sabar-sabar melampiaskan kemarahan terhadap negara-negara serumpun yang hanya kalut menghambur kata-kata sehingga bunyinya seolah-olah tidak keruan lagi.

Sekurang-kurangnya serangan Israel ini berjaya mengalih perhatian ahli-ahli Parlimen Malaysia daripada berbincang isu kasta atasan seperti isu AP dan isu ketidakadilan dalam penjualan Mercedes yang dirampas Kastam kepada tuan-tuan Yang Berhormat. Jelik benar aku selaku rakyat kelas pertengahan yang sekali-sekali pulang ke tanah air mendengar anggota Parlimen yang gah mempertahankan haknya membeli kereta bertaraf chariot zaman Roman pada harga diskaun.

Jauh di sudut hati aku mempersoalkan perlunya anggota Parlimen diberi hak AP dan hak memiliki kereta-kereta mewah menggunakan wang titik peluh yang diamanahkan rakyat. Apalah ketidakselesaan sedikit itu jika dibanding rakyat yang hidup merempat di bawah bangsal usang atau di tepi-tepi denai kotaraya. Mungkin mereka mahu meniru khalifah-khalifah zaman khilafah Islam yang sesetengahnya hidup seperti tidak mahu mati.

Kini aku sedang termangu bersebelahan rakan karibku yang masih meraung-raung kerana kehilangan kesemua 7 ahli keluarganya dalam serangan udara terbaru Israel. Tersandar di tiang masjid itu, aku termenung mengenangkan masa depan yang terumbang ambing kerana ditembak peluru-peluru gergasi buatan Amerika; dan masa lampau yang tidak dimanfaatkan. Hanya doa yang mampu kuucap, menagih belas kasihan yang Maha Esa seperti seorang bacul yang tidak mampu berusaha sendiri tetapi lebih cenderung untuk terus bertawakkal. Jauh di lubuk hati, aku mengharapkan doa dari saudara-saudara seagama di seberang dunia sana, meski dahulu aku cuai dalam tanggungjawabku untuk sekurang-kurangnya berdoa untuk mereka.

Marah bersulam sedih campur sedikit menyesal. Menyesal kerana longlainya aku sebagai anggota umat yang longlai. Longlai kerana hanya mampu melawan dengan kata-kata. Kata-kata yang mandul tidak diterjemahkan kepada perbuatan. Sinis di hati memikirkan Pemuda-(pemuda) yang dahulunya gah mencari wakil seluruh dunia. Semoga mereka sanggup ke medan perang memandangkan kini perang sudah menjengah ke muka pintu. Termasuklah ketua, naib ketua, dan entah apa jenis ketua mereka sekali.

Tiba-tiba kepalaku terasa pedih yang teramat. Penglihatanku kian kelam, suram sedikit demi sedikit. Dalam tempoh sesaat dua itu, aku sedar, kepalaku sudah diterobos peluru. Aduh, azabnya mati. Amal yang sedikit dibawa bekal, di samping maksiat dan sifat bacul tidak melawan yang bakal memberatkan neraca kiri. Kulihat sekeliling buat kali terakhir.

Dan aku terduduk di atas katil. Berpeluh lenjun.


---------

Banyak lagi aku nak komen tentang dunia ni. Tapi aku dah bosan. Kredit kpd saudara Tiqo. Semoga berbahagia.

---------

Selamat pengantin baru kepada Bo dan Lily; Fadhrazy dan Ilham Aliaa. Semoga berbahagia ke anak cucu cicit cuit.