Lupakan bola sepak - SURAT 2
APA kata pemain kita pada masa akan datang digilap dari kecil dengan memberi tumpuan kepada kanak-kanak Orang Asli di Semenanjung dan anak watan dari Sabah dan Sarawak.
Semasa lawatan fakulti saya ke kawasan perkampungan Orang Asli di Cameron Highlands pada April lepas, kami dapati mereka begitu cergas dan ada kemahiran tersendiri – menggelecek bola dengan tangkas, bertenaga dan bersemangat.
Mereka tidak mudah lelah atau ‘pancit’ walaupun tidak mendapat penjagaan diet makanan yang rapi dan latihan kecergasan intensif seperti yang dilalui oleh pemain-pemain kebangsaan kita.
Anak-anak kecil dalam lingkungan 5-10 tahun pula baik lelaki mahupun perempuan begitu lasak.
Kami sendiri ‘kagum dalam kengerian’ melihatkan mereka berlari menuruni cerun-cerun bukit di kawasan mereka dengan selamba lagi ‘bergaya’.
Mereka sudah mahir mengimbangi badan dan punya kekuatan dalaman yang bagi kami agak sukar dijumpai di kalangan kawan-kawan yang seusia dengan mereka di kawasan bandar mahupun di kampung sekarang.
Tidak silap saya, beberapa tahun lalu, Kementerian Belia dan Sukan ada menyatakan cadangan serupa tetapi tidak pula diketahui perkembangannya sekarang.
Sudah tiba masanya, sumber ‘modal insan’ dalam sukan tanah air kita seperti mereka tidak harus disia-siakan.
– KAMAL IAS,
Kuala Lumpur.
Source: Utusan Malaysia Online, Forum Column, 12 July 2007
___________________
Hahaha... a bit racist (just tiny pinch), slightly 'true', but still very very 'entertaining' to read