Thursday, January 12, 2006

Hayat Indah

27-30 Disember 1996


Di sisi tiang berukir atas renda sejadah
kudus tulus doa fakir yang amat gundah.
Khusyuknya utama mengharap restu abadi
surah-surah suci demi hidup dan mati.

Meluncur unggas menara tergetar rumpun taman
bayu berlagu syahdu di kalbu yang rindu
begitu buana berdetak dalam hikmah masa
begitu ghairah hasrat seganjil rahsia senja.

Yang dikenal wajah dan disangsi maruah;
disapa cakerawala, yang diuji manusia
demi hari demi sepi hati inti diri
dan demi malam salam menghiasi alam.

Bilal dan bibir, jemaah dan fakir
tamsil kasih dalam kemelut getir
awal teka-teki di tangan yang alpa
kini rendang mengharum darma ibadah.

Dari hening azan nafas seranum iman;
meresap rindu ke puncak reda Tuhan -
pesan tak bersuara di hati telah terkata
jiwa seindah rimba anugerah Maha Kuasa.

Rehal dan Quran, serindit dan nisan
damai dalam firman Allah Yang Esa
terercik kirai cahaya meluhuri dada
dan sabda Muhammad mengindahi hayat kita.


A. Samad Said

No comments: