Tuesday, October 14, 2008

Perjalanan Yang Pasti 1

1994


Hujan lebat. Seorang anak kecil berusia 10 tahun bersama keluarganya dalam perjalanan pulang ke Kuantan dari Muar. Kenduri kahwin; sahabat bapanya seorang Cina mualaf baru sahaja selesai majlis walimahnya.


Hujan teramat lebat. Anak kecil itu sedikit gundah. Jalan tidak begitu jelas. Konspirasi langit gelap dan rentuman hujan mengkaburkan pemandangan bapanya. Sunyi sekali petang itu. Tidak ramai yang mahu berjalan dalam hujan yang tidak menunjukkan tanda akan kebah.

Pendek kata, suasana agak menggerunkan.

Adiknya nyenyak tidur di sebelahnya, kenyang tersumbat dengan hidangan kenduri kongsi ayam Johor yang sedikit janggal tapi enak. Ibunya juga separuh lena.


Anak kecil itu terus gundah, apakah mungkin Izrail akan menjemputnya hari itu? Diikutkan kebarangkalian agak tinggi. Masakan tidak, Izrail mengunjungi semua anak Adam kurang lebih 20 minit sekali setiap hari.

Kilat sabung menyabung, guruh berdentum megah menggegar seluruh alam dan sanubari anak kecil itu. Mata anak kecil itu tertutup rapat, tapi benaknya ligat berputar. Konsep kematian merupakan sesuatu yang asing baginya. Konsep akhirat yang abadi yang diulang bicara guru Fardhu-Ainnya saban minggu menggamit pemikiran.

Akhirat = alam abadi. Abadi = selama-lamanya. Selama-lamanya = waktu yang bersifat infiniti. Infiniti = tiada penghujung, tidak tamat.

Sehari akhirat = seribu tahun dunia. Hidup di dunia +- 70 tahun (purata). Justeru, hidup di dunia = (70/1000) x 24jam = 1.68jam akhirat.

Pendek benar waktu 'peperiksaan' ini. Akibatnya ditanggung di alam abadi. Air mata anak kecil itu berlinangan memikirkan solatnya yang sambalewa. Juga keengkarannya terhadap ibu-bapanya. Apatah lagi umpat-umpatan dan keji-kejiannya terhadap saudara seIslamnya. Makan daging busuk.

Diulit ketakutan, mata anak kecil itu tertutup tapi berlinangan. Kemudian mata anak kecil itu terus tutup.

Kisah benar.

No comments: