Monday, October 17, 2005

Kaum Penyembah Dewa Jagung

Mula: Ruang udara Puri, India. Waktu tempatan: 0932.


* * *


Kaum Penyembah “Dewa Jagung”

Ada suatu kaum. Terperosok nun jauh di pedalaman benua. Aktiviti utama : bercucuk tanam. Jagung makanan ruji. Seperti Melayu dan nasinya, kaum ini “tidak boleh hidup” tanpa jagung. Setiap hari, mereka akan meyembah dewa mereka, Dewa Jagung. Sesetengahnya berniat meminta kemurahan rezeki. Ada untuk menolak bala dan ada pula sekadar memenuhi naluri untuk menyembah. Pendek kata, tidak senang duduk jika sehari tidak menyembah.
Saban hari mereka menyembah. Dari bulan ke bulan, tahun ke tahun. Kata orang (Melayu), sudah menjadi rutin; kebiasaan. Namun tidak mereka leka, tidak mereka lalai, tidak mereka alpa. Malah terus menyembah dengan penuh ketaatan, patuh seorang hamba kepada ‘dewa’nya yang pada mereka,‘menjaga’ perihal jagung dan perkara-perkara berkaitan dunia ke’jagung’an. Menyembah; sesetengahnya berniat meminta kemurahan rezeki. Ada untuk menolak bala dan ada pula sekadar memenuhi naluri untuk menyembah. Pendek kata, tidak senang duduk jika sehari tidak menyembah.
Pernah juga ahli kaum ini terlepas upacara penyembahan beramai-ramai (berjemaah) dek sakit. Tiada bala, tiada musibah. Namun mereka terus menyembah. Tidak leka, tidak lalai, mahupun alpa.
Datanglah pada suatu hari sekumpulan pengembara. Ali, Ramli, Johar; Islam semuanya. Kaum ini menerima mereka dengan baik, namun berasa aneh melihat Ali tertonggek-tonggek lima kali sehari. Diajukan soalan, terang Ali dia menyembah Tuhan.

“Kerana kamu semua suatu kaum?” soalnya lagi, fasih memahami bahasa yang digunakan Ali.
“Erm…ya,” jawab Ali ringkas mengelak kekeliruan.

“Oh, begitukah…”

“Hmm, pelik cara kamu menyembah,” katanya lemah lembut.

“Kenapa? Tonggang tonggek?”

“Erm, itu nampak biasa sahaja, kami pun begitu, lebih kurang…”

“Cumanya, saya pasti agak sukar untuk kamu menghafal pergerakan mata kamu”

“ ? ”

“Erm, pandang merata-rata, tentunya ada aturannya, tak begitu?”


Ali tersenyum, kelu lidah.


“Tambah memelikkan, tidak semua ahli kaum perlu menyembah.”

“ ? ”

“Sahabat-sahabat kamu yang lain tidak buat… mengapa?”


Ali tersenyum, kelu lidah, muka kemerahan.


“Ahh, mereka berbeza daripada kamu bukan? Pastinya dia ketua suku,” telahnya, memecahkan kesunyian yang ditinggalkan Ali.


Ali tersenyum, kelu lidah, muka kemerahan, tunduk.


“Kami lakukan semuanya sama, bersama-sama,” sambil menunjukkan contoh pergerakan.

“Ketua kami pun kena sembah Dewa Jagung.”


Ali senyum, kelu lidah, muka kemerahan, tunduk, malu.


“Apakah pula pantang kamu?” tanya ahli biasa kaum asli itu penuh minat.


Ali terpinga-pinga. Pantang? Tidak terfikir pula olehnya.


“Pantang kami mudah, jangan diberi makan jagung itu kepada ayam untuk dimakan. Nanti Dewa Jagung marah.”

Ali melihat peluang, “Oh, mengapa tidak masuk akal begitu?”

“Apa pula tidak masuk akal? Dewa kata jangan, maksudnya jangan. Itu sudah cukup sebagai alasan,” getusnya, tegas, tiada kompromi.

Mendengar kekerasan suara yang begitu menakutkan, Ali berundur dari tindakan menyerangnya.

* * *
Begitulah hakikat Muslim (jenis orang, bukan nama orang) dan solatnya. Leka, lalai, alpa. Kerutinan entiti utama Islam ini bukanlah alasan untuk mneghalalkan kebobrokan kualitinya. Ini kerana, pada hakikatnya, entiti utama ini adalah metafora akidah atau lebih tepat lagi; ukuran dan tanda aras iman.
Ketirisan dalam pelaksanaan solat melambangkan ketirisan pada akidah. Kealpaan dalam mempertahankan kekukuhan akidah membawa kepada penjajahan, fizikal, spiritual, dan mentaliti. Kerana aset utama umat Islam itu sendiri adalah akidah mereka. Tak kira dengan teknologi atau tanpa teknologi. Sejarah telah membuktikannya beberapa kali, bukan sekali. Malah jika difikirkan dengan teliti, persediaan teknologi sendiri merupakan suatu natijah kepada akidah yang ampuh.
Iman kaum asli ini terhadap Dewa Jagungnya adalah jauh lebih utuh daripada iman Ali terhadap Ilahnya, Tuhan pencipta Jagung, pencipta air yang menyegahkan jagung, pencipta ‘baja’ yang menyuburi jagung, pencipta manusia dan haiwan yang memakan jagung dan pencipta alam yang menempatkan manusia dan haiwan yang memakan jagung. Semua dalam satu, konsep esa yang dipegang seorang muslim.
Sebaliknya manusia yang mendakwa diri sebagai bertamadun, lalai dari mengingati Tuhan. Barangkali (ditegaskan : BARANGKALI) ada majoriti umat Islam tidak lalai dari solat mereka, dalam erti kata tidak meninggalkan terus, sebagaimana Ramli dan Johar. Namun kualiti penyembahan majoriti muslim mungkin tidak sebaik kaum penyembah dewa jagung itu. Kita yang mendakwa diri sebagai umat yang berada di arena kebenaran, landasan yang lurus; yang mendakwa dunia sebagai ladang menanam ‘jagung’, untuk menuai ‘jagung’ di akhirat yang kita dakwa sebagai kekal abadi (dalam erti kata lain : bekalan ‘jagung’ sebanyak infiniti), tidak pula seperti kaum penyembah Dewa Jagung.
Jika kaum penyembah Dewa Jagung akan mengelak dari melakukan perkara yang akan memurkakan Dewa Jagung, umat Islam yang ‘berada’ pada jalan kebenaran pula akan melanggar peraturan inqilabi (memisahkan Islam dan Jahiliah), memakai topeng atau make-up Islam tetapi pada masa yang sama menyanyi menghiburkan khalayak yang galak bercengkerama lelaki perempuan.

* * *

Mungkin kaum penyembah Dewa Jagung ini tidak wujud. Ia hanyalah analogi yang digunakan dalam kecetekan ilmu untuk mencari contoh dalam dunia realiti. Namun jika direnungkan, jauh di lubuk hati kita (jika tidak dinyatakan secara terus-terang) sememangnya kita melihat sesetengah kaum asli sebagai kaum yang melakukan upacara penyembahan kolot, tidak masuk akal, dan dagang. Persoalan yang ingin diketengahkan bukanlah perihal upacara yang mereka lakukan, jauh sekali pantang-pantang mereka. Persoalannya ialah perbandingan ke‘iman’an mereka kepada Dewa Jagung mereka dan iman kita kepada Tuhan semesta alam, Tuhan yang sebenar, Tuhan yang esa, tiada Tuhan melainkan-Nya. Tatkala kala kita sibuk menempuh pelbagai arus; arus kemajuan, globalisasi, liberalisasi dan berlambak jenis sasi-sasi dan isme-isme yang lain, perkara pokok lagi tunjang ini nampaknya telah dikompromi.

Teguran ini ditujukan kepada diri sendiri.

* * *

Selesai : Ruang udara antara Kharkov, Dnepropetrovsk, dan Sverdlorsk, Ukraine. 3050km dari Mekah Al-Mukarramah. Waktu tempatan : 1314, waktu Malaysia : 1815.

36000 kaki (10972 m) dari aras laut pada kelajuan 881 km/h. Suhu luar: -53 °C
* Ironinya, semasa mengukir coretan hati penghaus mata pena ini, aku diperdengarkan dengan surah As-Saff – teliti terjemahan ayat 2 & 3.
* Sorry for the rather shoddy article and workmanship... not really in clear state of mind

No comments: